JOHOR BAHRU: DC Healthcare Holdings Bhd (DC Healthcare) terus mengukuhkan kehadirannya dalam industri estetik perubatan negara dengan pembukaan cawangan terbaharu Klinik Dr Chong di Pelangi, Johor Bahru.
Langkah strategik ini selari dengan misi syarikat untuk memperluas capaian perkhidmatan rawatan estetik berkualiti di seluruh negara, khususnya di wilayah selatan.
Dengan kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) diperoleh, Klinik Dr Chong di Pelangi kini beroperasi sepenuhnya dan bersedia memberikan khidmat kepada penduduk tempatan, sekali gus memperkukuh peranan Johor Bahru sebagai hab estetik yang pesat berkembang.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr Chong Tze Sheng, berkata pembukaan cawangan baharu itu membuktikan komitmen syarikat untuk menyediakan perkhidmatan estetik yang profesional, selamat dan mudah diakses oleh masyarakat.
"Kami amat berbesar hati untuk membawa kepakaran rawatan estetik kami ke Taman Sri Tebrau, kawasan komersial dan kediaman yang rancak. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Johor Bahru memiliki potensi besar bukan sahaja untuk pertumbuhan DC Healthcare, malah sebagai pusat tumpuan pelanggan dari Singapura, sekali gus menyokong pembangunan pelancongan perubatan di negeri itu.
Klinik Dr Chong di Pelangi menawarkan pelbagai rawatan estetik seperti penjagaan kesihatan kulit, peremajaan wajah dan prosedur anti-penuaan, yang dikendalikan oleh pakar terlatih serta menggunakan teknologi perubatan terkini.
Cawangan itu turut melengkapkan kehadiran DC Healthcare di Johor Bahru yang sedia ada menerusi Klinik Dr. Chong di Bukit Indah dan Taman Molek, mewujudkan rangkaian titik sentuh yang lebih luas kepada pelanggan.
"Dengan setiap pembukaan cawangan baharu, kami menegaskan komitmen terhadap nilai teras kami iaitu keselamatan, inovasi dan penjagaan peribadi. Pelanggan bukan sahaja menerima rawatan terbaik, tetapi juga pengalaman yang selesa dan dipercayai," katanya.
Setakat ini, DC Healthcare mengendalikan 21 Klinik Dr Chong dan lima cawangan Dr Chong Skin and Slimming di seluruh negara, menjadikan kumpulan itu antara peneraju dalam industri penjagaan estetik perubatan Malaysia.
Pembukaan cawangan baharu ini juga dilihat sebagai satu langkah signifikan ke arah merealisasikan visi DC Healthcare untuk menjadi rangkaian klinik estetik paling mudah diakses dan dipercayai di negara ini.